SEMPORNA: Seorang wanita melecur pada bahagian betis ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Samal-Samal, Pulau Bum-Bum, di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 pagi.
Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna digerakkan ke tempat kejadian menggunakan bot.
“Sebaik tiba, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran satu pancutan dari sumber air terbuka.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa wanita cedera melecur di bahagian betis dan ke bawah.
“Mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. Rumah berkenaan dihuni enam sekeluarga.
“Operasi terkawal pada 4.33 pagi dan ditamatkan 17 minit kemudian,” katanya.
Tambahnya lagi, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba. – Info X