Search

Wanita parah, kereta terjunam dalam parit

April 20, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang pemandu wanita parah selepas kereta dipandunya terjunam masuk ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter dalam kemalangan di Taman CL, Jalan Asam, di sini, malam tadi.

Wanita berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Proton Persona berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi kenyataan media hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.35 malam.

“Setiba di lokasi, terdapat sebuah kereta terbabas masuk ke dalam parit sedalam lima meter. Terdapat seorang mangsa cedera parah dan dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa naik ke tempat selamat menggunakan stretcher sebelum diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Anggota bomba mengangkat mangsa ke tempat selamat sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.07 tengah malam. – Info X