Search

Wanita selamat kereta terbabas sebelum terbakar

July 5, 2025

Info X Reporters

KENINGAU: Seorang wanita terselamat apabila kereta dipandunya terbakar selepas dipercayai terbabas lalu melanggar tiang lampu di hadapan bangunan JKR Keningau, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.51 pagi, sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah Proton Persona yang terbakar 60 peratus akibat terbabas dan melanggar tiang lampu.

“Terdapat seorang mangsa wanita berusia 26 tahun yang berjaya keluar dari kenderaan dalam keadaan selamat dan tidak cedera sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran, satu pancutan, dengan sumber air dari jentera bomba.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 3.18 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.29 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.

Terdahulu, operasi membabitkan tujuh anggota dengan kekuatan sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). – Info X