KOTA KINABALU: Pengundi wanita boleh menjadi penentu siapa wakil rakyat dan parti yang bakal membentuk kerajaan negeri Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Azizah Mohd Dun, berkata ia sejajar dengan jumlah pengundi wanita di negeri ini yang mencecah tidak kurang separuh daripada keseluruhan pemilih.
Berikutan itu, katanya pergerakan Wanita GRS melihat kedudukan golongan wanita sangat penting dalam memastikan kemenangan gabungan berkenaan pada PRN17 nanti.
“Peranan wanita amat penting dan mereka boleh menentukan siapa kerajaan dan siapa wakil rakyat kerana pengundi wanita di Sabah tidak kurang daripada 50 peratus
“Justeru, tanggungjawab Wanita GRS amat penting dan cukup besar. Jentera GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan GRS kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Wanita GRS dan Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua-Ketua Wanita Komponen GRS dan Pengerusi Zon-Zon, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Wanita GRS, Datin Malianah Ugau (PBS), Datuk Flovia Ng (STAR), Noraiza Md Noor (SAPP), Puan Sri Diana Datuk Y Diego (USNO), Norazian Dumit (PHRS) dan Glenna Wong (LDP).
Hadir sama ialah Penolong Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun; Ketua Penerangan Wanita GRS, Vyonne Yong; Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh dan Setiausaha Kerja, Fariza Jimmy.
Azizah berkata Wanita GRS adalah tonggak kekuatan parti yang mendokong kerajaan pada hari ini, bersama rakan-rakan parti lain.
“Justeru, pergerakan wanita parti komponen dalam GRS perlu terus meningkatkan persefahaman dan perpaduan yang sedia terjalin, untuk menjadi satu pasukan yang kuat dalam perjuangan demi aspirasi rakyat negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Azizah yang juga bekas Ahli Parlimen Beaufort mengingatkan Wanita GRS supaya tidak selesa dengan pencapaian mereka, sebaliknya terus meningkatkan gerak kerja berkhidmat kepada rakyat.
Jelasnya, jentera Wanita GRS tidak boleh leka, sebaliknya terus mengukuhkan perpaduan sebagai satu pasukan dalam perjuangan parti.
“Kita kena terus bekerja kuat, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita,” katanya.
Azizah berkata dengan kerjasama erat yang ditunjukkan semua wanita dalam parti komponen GRS, gabungan itu akan terus menjadi satu pasukan yang kuat.
Tambahnya, jentera pilihan raya wanita juga perlu mengetahui bahawa pengundi muda masa kini akan menjadi ‘game changer’ kepada parti politik.
“Kita perlu berusaha merancang sebaik mungkin cara dan kaedah untuk mendekati serta memastikan mereka selari dengan hala tuju GRS,” katanya. – Info X