TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing selepas dipercayai terbabit curi motosikal di sekitar tapak bazar Ramadan, Sabindo, di sini, pada 22 Mac lalu.
Lelaki berusia 17 tahun itu ditahan polis di sekitar taman perumahan bandar Tawau, kira-kira jam 7.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Katanya, tangkapan ke atas suspek susulan laporan polis yang dibuat mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun di Balai Polis Tawau pada jam 5.40 petang 22 Mac yang lalu.
“Mangsa menyatakan ketika meninggalkan motosikal miliknya di kawasan tepi jalan dalam keadaan enjin mati dan membiarkan sahaja kunci motosikal di tempat kunci dan terus pergi ke bazar ramadan untuk membeli juadah berbuka.
“Kira-kira 10 minit, mangsa kembali semula ke tempat parkir motosikal dan mendapati motosikal miliknya hilang dan disyaki dicuri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, kerugian yang dialami mangsa dianggarkan berjumlah RM5,600.
Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya memberkas seorang suspek lelaki yang dikenal pasti kerana terlibat dengan kes curi motosikal berkenaan.
“Hasil daripada soal siasat dan disaksikan oleh suspek, pihak polis berjaya merampas semula sebuah motorsikal milik mangsa yang dipercayai dicuri.
“Suspek dan motosikal itu dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu, Jasmin mengingatkan pemilik motosikal supaya tidak meninggalkan kunci pada motosikal atau membiarkan kenderaan mereka tidak berkunci ketika melakukan sesuatu urusan yang dapat mendorong penjenayah untuk mengambil peluang melakukan jenayah. – Info X