TAWAU: Taktik seorang lelaki warga asing menyembunyikan syabu lebih dua kilogram dadah jenis syabu di dalam kotak plastik pembesar suara bagi mengaburi mata pihak berkuasa, tidak menjadi apabila dia ditahan polis.
Suspek berusia 45 tahun ditahan di sebuah rumah di tapak pembinaan di Jalan Bunga Raya, di sini, oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 2 petang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ertindak atas maklumat dan pasukan operasi menyerbu sebuah rumah dan memberkas seorang suspek lelaki warga asing.
Katanya, hasil siasatan awal, suspek menyerahkan sebuah kotak plastik pembesar suara berwarna biru.
“Pemeriksaan di dalam kotak itu menemukan dua paket plastik cerah berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 2,063.93 gram berjumlah RM158,400.
“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke BSJN IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah.
“Suspek direman bermula 1 Jun 2024 untuk siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, Jasmin turut memberi amaran kepada masyarakat di daerah ini supaya tidak bersekongkol bersama pesalah. – Info X