TAWAU: Seorang lelaki warga asing didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 7.4 kilogram, dua minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh iaitu Muhammad Ahmad, 22, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjun.
Mengikut pertuduhan, Muhammad didakwa melakukan perbuatan itu pada 8 Ogos kira-kira jam 10.10 pagi di kawasan Jeti Pelabuhan Tawau.
Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum Seksyen 39B (2) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Mahkamah menetapkan 26 September depan untuk sebutan semula bagi menunggu laporan kimia.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nur Intan Jamrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X