Search

Warga asing ditahan bersama syabu 50 gram

May 29, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Kegiatan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di daerah ini terbongkar apabila ditahan polis bersama syabu seberat 50.08 gram dalam operasi di Kampung Selamat, awal pagi tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Semporna turut merampas satu bungkusan plastik mengandungi ketulan hablur jernih disyaki syabu dengan nilai anggaran sekitar RM5,000.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat dan risikan berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota BSJND yang menjalankan pemerhatian mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahannya untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 50.08 gram.

“Suspek warga asing berusia 38 tahun itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tan berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti berkenaan.

“Kerjasama masyarakat amat penting dan orang ramai diseru terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah serta penyalahgunaan dadah bagi membantu pihak polis mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. – Info X