Search

Warga asing ditahan kes ugutan jenayah melalui WhatsApp

February 1, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki mengugut seorang remaja lelaki melalui aplikasi WhatsApp di Kampung Haji Sundu, Batu 2 Jalan Apas, di sini, pada Sabtu.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai menerima mesej berbaur ugutan daripada seorang kenalan selepas permintaan suspek tidak dituruti, sekali gus menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan dirinya.

Difahamkan, ugutan berkenaan diterima ketika mangsa berada di rumah sebelum dia bertindak membuat laporan di balai polis bagi mendapatkan perlindungan serta tindakan lanjut.

Susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau segera menjalankan siasatan dan risikan bagi mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil risikan membawa kepada penahanan suspek berusia 18 tahun di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

“Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di negara ini tanpa dokumen sah,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan sebarang ugutan, khususnya yang dibuat melalui aplikasi pesanan dan media sosial, sebaliknya segera tampil membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan pantas diambil sebelum ugutan bertukar menjadi ancaman sebenar. – Info X