TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai warga asing yang mengamuk dan menimbulkan kekecohan di kawasan Kampung Titingan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan, Balai Polis Tawau digerakkan ke lokasi kejadian untuk mengesan suspek dan menjalankan siasatan lanjut.
“Suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau bagi menjalani ujian saringan awal air kencing.
“Hasil ujian saringan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai warga asing.
Jasmin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara di daerah ini.
“Orang ramai digesa agar segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak berkuasa,” katanya. – Info X