Search

Warga asing rogol kanak-kanak dipenjara 8 tahun, 4 sebatan

May 16, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas dia mengaku bersalah merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Ali, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rosli Ahmad selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam prosiding yang dijalankan hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun, di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit, di Semporna, jam 4 petang, 2 April 2022.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Suhaimi dalam hujahnya memohon hukuman berat keatas tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam dan kesan trauma dialami mangsa selepas dirogol sehingga melahirkan anak lelaki.

Katanya, mangsa yang masih bersekolah sepatutnya menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak perempuan lain namun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dalam usia yang sangat muda.

“Laporan daripada Jabatan Kimia juga mengesahkan anak yang dilahirkan mangsa adalah hasil perbuatan terkutuk tertuduh.

“Pendakwaan juga mengambil kira faktor tertuduh dalam kes ini adalah warga asing yang masuk ke negara ini sewajarnya dijatuhi hukuman berat selain perlu diusir pulang ke negara asal,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan tahun dan empat sebatan bermula dari tarikh tangkapan selain diusir pulang ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang merupakan pekerja pembersihan disyaki merogol ketika mangsa sedang tidur bersendirian di rumahnya kira-kira jam 4 petang pada 2 April tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun ditangkap pada 21 November tahun lalu selepas mangsa mengadu sakit perut sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengandung 38 minggu dan selamat melahirkan bayi lelaki sebelum mendedahkan dia telah dirogol oleh tertuduh. – Info X