TENOM: Seorang wanita warga emas cedera selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Chinta Mata Bukit, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian itu turut memusnahkan tiga kereta jenis Perodua Myvi dan dua van, dengan kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah kenderaan sebelum merebak ke rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom berkata, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 3 pagi sebelum sembilan anggota digerakkan ke lokasi sejauh lapan kilometer.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.08 pagi dan mendapati sebuah rumah jenis kekal terbakar kira-kira 80 peratus.
“Turut terbakar sepenuhnya ialah tiga buah kereta jenis Perodua Myvi dan dua buah van,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dengan dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.18 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.38 pagi.
“Seorang warga emas berusia 74 tahun cedera ringan di kaki kanan dan dihantar ke Hospital Tenom oleh orang awam untuk rawatan lanjut.
“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X