Search

Warga emas ditemukan meninggal dunia dalam bilik air rumah terbakar

May 22, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia selepas rumah dua tingkat yang didiaminya di Kampung Seri Tanjung Pengalat Kecil, di sini, terbakar awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, mangsa Rafiah Badar, 72, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bilik mandi rumah berkenaan.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Hamdani Harith berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai sebelum sepasukan tujuh anggota bersama jentera bomba dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian dan mendapati sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal sudah terbakar hampir 90 peratus.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran.

“Ketika operasi dijalankan, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan bilik mandi pada jam 7.57 pagi sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat sesak nafas.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala operasi terkawal sepenuhnya pada jam 7.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata, turut membantu operasi ialah lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga petugas KKM serta dua kakitangan Sabah Electricity.

Katanya lagi, terdapat sedikit masalah litupan GIRN di lokasi kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – Info X