SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar untuk mengubati orang sakit di Pulau Buntal, di sini, semalam.
Mangsa Jamil Samson, 60, dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Semaian ke Pulau Buntal pagi semalam menggunakan bot untuk mengubati orang sakit.
Bagaimanapun mangsa tidak pulang ke rumahnya sehingga hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian dari Balai Polis jam 8.51 pagi tadi.
Katanya, sepasukan bomba bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Menurut laporan mangsa dipercayai hilang di laut berhampiran Pulau Buntal, dan botnya ditemui kira-kira 6 petang semalam
“Namun mangsa gagal ditemui dan terdapat kesan tompokan darah di bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X