SEMPORNA: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di sungai Ladang Pinang, di sini semalam, ditemukan lemas, hari ini.
Mayat mangsa berusia 60 tahun ditemui penduduk kampung, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Penolong Penguasa Bomba, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan orang dikhuatiri hilang di sungai ketika sedang menangkap ikan, 11.27 pagi tadi.
“Menurut pemanggil, mangsa keluar pada jam 6 pagi semalam menggunakan bot dan belum pulang ke rumah.
“Orang kampung membuat pencarian awal dan telah menemui bot mangsa tanpa pengemudi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pada jam 1.30 tengah hari tadi, mangsa ditemui oleh orang kampung pada jarak satu kilometer dari lokasi bot mangsa ditemui.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis.
“Pasukan bomba bertindak mengambil mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X