KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah pada Selasa, ditemui selamat, semalam, selepas lebih 26 jam.
Mangsa berusia 78 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan lemah, sekitar jam 5.30 petang, di Kampung Payas-Payas, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, mangsa hanya dilaporkan hilang selepas disedari hilang oleh ahli keluarga pada jam 8.30 pagi.
Katanya, mengikut laporan anak mangsa, warga emas terbabit keluar daripada rumah pada jam 3 petang sebelum disedari hilang.
“Mangsa ditemui orang awam pada jarak 300 meter dari rumah mangsa di kawasan kampung berkenaan dalam keadaan lemah.

“Pasukan bomba seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang. – Info X