Search

Warga emas maut diserang sekumpulan anjing

January 27, 2025

Info X Reporters

KUNAK: Seorang wanita warga emas maut diserang sekumpulan anjing liar yang berkeliaran di Terminal Bas Kunak, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 1.49 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an dipercayai diserang kira-kira 11 ekor anjing berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Berdasarkan CCTV di lokasi itu yang tular di aplikasi WhatsApp juga, mangsa dikerumuni sekumpulan anjing sebelum haiwan terbabit menyerangnya.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira 6.30 pagi hari yang sama.

Katanya, maklumat mengatakan menemui satu mayat wanita di kawasan terminal bas berkenaan.

“Siasatan awal oleh pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak mendapati satu mayat wanita dalam keadaan terbaring dan tidak berpakaian.

“Terdapat kesan luka dipercayai kesan gigitan anjing liar di bahagian tangan kiri, kepala, dada kanan, kedua-dua bahagian pinggang dan kedua-dua kaki mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat diserang sekumpulan anjing liar di kawasan Terminal Bas Kunak.

Menurutnya, terdapat barang kepunyaan mangsa berselerak di sekitar lokasi kejadian.

“Hasil semakan CCTV mendapati mangsa telah diserang sekumpulan anjing kira-kira 11 ekor pada 1.49 pagi, Sabtu lalu, sehingga mangsa meninggal dunia.

“Pemeriksaan lanjut mangsa dikatakan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai bukan berasal dari Kunak,” katanya.

Tambah beliau lagi, proses bedah siasat dijalankan di Hospital Tawau hari ini.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – Info X