LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya parah selepas diserang sekumpulan gajah dalam kejadian di Kampung Perpaduan, Skim Begahak, Lahad Datu, Sabah, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa Lopis Jubin, 90, disahkan maut manakala isterinya, Dalama Hamid, 61 tahun, parah dan kini dirawat di Hospital Lahad Datu.
Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa berada di dalam sebuah pondok untuk menjaga kebun ubi mereka sebelum didatangi sekumpulan 12 ekor gajah.
Menurut sumber, sebaik menyedari kehadiran gajah berkenaan, pasangan terbabit bertindak keluar daripada pondok dan cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, salah seekor gajah berkenaan dikatakan mengejar mereka dan menyerang pasangan suami isteri itu termasuk menendang dan memijak kedua-dua mangsa.
Akibat serangan haiwan berkenaan, Lopis disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di dada, mata dan tangan.
Manakala isterinya turut parah dan mengalami patah pinggang selain cedera di peha kiri dan lebam di kedua-dua tangan.
Mayat mangsa sudah dibawa ke bahagian forensik Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut manakala isterinya dilaporkan masih rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu ,Silvester Saiman berkata, sepasukan anggota sudah dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
Katanya, pemeriksaan berjaya mengesahkan kehadiran sekumpulan gajah di kawasan kebun ubi milik mangsa.
“Ia termasuk kesan tapak kaki gajah, pokok ubi yang patah serta geseran pada pondok yang didiami mangsa.
“Terdapat juga kesan tapak kaki gajah di kawasan parit kecil, lokasi kedua-dua mangsa ditendang dan dipijak,” katanya. – Info X