Search

Warga emas maut ketika mendaki di Tawau

March 4, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang warga emas lelaki maut ketika melakukan aktiviti mendaki di Sankina Water Park, Hot Spring, di sini, semalam.

Mangsa Chin Koon Hin, 65, dilaporkan tidak sedarkan diri di kawasan tepi laluan pejalan kaki sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bagi bantuan mengangkat mangsa pada 8.26 malam sebelum sebuah jentera dengan tujuh anggota dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba bergerak sejauh 1.5 kilometer dari jalan utama ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa.

“Menurut saksi, mangsa dilaporkan masuk ke kawasan hutan berseorangan pada jam 4.30 petang dan didapati hilang pada 6 petang hari sama. Gerakan mencari dijalankan oleh sekumpulan orang awam pada jam 7 malam.

“Mangsa ditemui terbaring di lokasi kira-kira jam 8 malam lalu menghubungi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bomba untuk bantuan mengangkat serta mengeluarkan mangsa dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan stretcher dibantu oleh orang awam ke jalan utama.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 10.48 malam,” katanya. – Info X