SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas maut selepas tertimbus tanah runtuh ketika cuba menghidupkan set janakuasa di bahagian belakang sebuah hotel di pusat bandar, di sini, dalam kejadian awal pagi tadi.
Mangsa, Agustine Frederick J. Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika cuaca hujan lebat yang menyebabkan bekalan elektrik di hotel berkenaan terputus.
Mangsa yang juga pekerja di hotel terbabit dipercayai cuba menghidupkan janakuasa yang terletak di bahagian belakang bangunan bagi memulihkan bekalan elektrik, bagaimanapun berlaku runtuhan tanah menyebabkan mangsa tertimbus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, bomba menerima panggilan pada jam 6.39 pagi dan menghantar 10 anggota ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi kejadian, katanya, pemeriksaan mendapati mangsa berada dalam keadaan tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah.
“Kerja menyelamat dilakukan dengan menggunakan peralatan penyodok bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap, sebelum mangsa dapat dikeluarkan pada jam 7.14 pagi.
“Pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Jimmy berkata, mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.19 pagi selepas memastikan keadaan kawasan selamat serta tiada lagi risiko bahaya. – Info X