TAWAU: Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun melecur di bahagian tangan selepas lapan rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Hidayat, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, mangsa yang cedera segera dihantar ke Hospital Tawau menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau untuk rawatan lanjut.
Selain kediaman, sebuah kereta jenis Proton Wira turut terbakar sepenuhnya dalam insiden berkenaan.

Ketua BBP Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, kebakaran membabitkan lapan rumah tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
“Pasukan bomba bertindak menggunakan teknik ofensif dan defensif dengan satu aliran dua pancutan menggunakan sumber air dari jentera dan water tanker.
“Terdapat seorang mangsa lelami melecur pada bahagian tangan telah dihantar ke Hospital Tawau menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Titingan dan Bomba Komuniti Kampung Hidayat.
“Manakala 350 rumah lain serta sebuah kilang papan berjaya diselamatkan daripada turut terbakar.

“Operasi dikawal pada jam 12.32 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya jam 2.15 petang selepas kawasan disahkan selamat,” katanya.
Seramai 18 anggota dari BBP Tawau digerakkan bersama beberapa jentera, diketuai Komander Operasi Mohd Yahya Abd Fatah serta Komander Operasi Kanan, Madzlan Sarman.
Turut membantu, 10 anggota polis, dua kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd dan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X