Search

Warga emas rentung dalam kebakaran di Tawau

November 6, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Kampung Air, Lorong Cempaka, Batu 4, di sini, pagi tadi.

Mayat mangsa Salleh Alih, 60, ditemukan rentung di bahagian dapur rumah oleh orang awam, jam 2.04 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.59 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak lapan Kilometer dari balai bomba.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal atas air terbakar sepenuhnya.

“Tindakan pasukan bomba membuat pemadaman menggunakan satu aliran dengan satu pancutan dari sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba dan anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Air, Batu 4, Tawau. – Foto/Bomba

Menurutnya, terdapat satu mangsa warga emas ditemui rentung oleh orang awam di bahagian dapur rumah.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X