Search

Warga Filipina didenda RM6,000 miliki kad MyPR palsu

August 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang warga Filipina didenda RM6,000 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda dan dirujuk ke Jabatan Imigresen atas kesalahan memiliki kad pengenalan MyPR palsu.

Hukuman itu dikenakan ke atas tertuduh, Alex Alki, 61, ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Jumaat lalu selepas ditahan untuk siasatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehari sebelum itu.

Tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang dibacakan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh, Alex Alki, 61, ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan berstatus penduduk tetap atau MyPR palsu ketika berada di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah pada kira-kira jam 12 tengah hari, 7 Ogos 2025.

Mengikut fakta kes, Alex yang berasal dari Basilan, Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri mengemukakan MyPR untuk mendaftar sebagai pelawat di Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk lawatan keluarga kepada seorang tahanan warga asing pada jam 8,30 pagi, 7 Ogos 2025.

Pegawai Imigresen yang memeriksa dokumen itu mendapati ada keraguan dari segi fizikal dan ciri-ciri keselamatan sebelum merujuknya kepada Komandan Depot yang mengesyaki kad pengenalan itu palsu.

Berikutan itu, pada kira-kira jam 12 tengah hari, tarikh yang sama, tertuduh diserahkan ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN Sabah untuk tindakan selanjutnya.

Semakan lanjut oleh Bahagian Kad Pengenalan JPN Sabah kemudian mendapati Kad Pengenalan bertaraf Pemastautin Tetap (MyPR) bernombor 701201-65-5373 atas nama Alex Alki itu tiada dalam rekod JPN.

Semakan lanjut juga mendapati kedua-dua cap ibu jari tertuduh tidak merujuk kepada mana-mana rekod jabatan itu.

Tertuduh kemudian menyatakan memperoleh kad pengenalan MyPR palsu itu daripada individu tidak dikenali di Penampang pada 2007.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Mohd Nadzeri. – Info X