Search

Warga Sweden ditemui maut di kapal layarnya

May 10, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Seorang pelayar warga Sweden ditemui maut di kapal layar miliknya yang berlabuh berhampiran perairan Kampung Patau-Patau, di sini, malam tadi.

Mayat Dick Thomas @ Svahn, 55, ditemukan oleh orang awam yang melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa jam 7.16 malam.

Ketua Polis Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mayat mangsa ditemui dalam kapal pelayarannya.

“Tempoh masa meninggal dunia belum dapat dipastikan dan punca kematian masih dalam siasatan.

“Polis bersama pasukan bomba telah mengambil masa hampir sejam bagi mengeluarkan mayat mangsa dari ruang kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk tujuan bedah siasat.

Pasukan keselamatan mengangkat mayat warga Sweden yang ditemui maut dalam kapal layarnya di Labuan.

“Tarikh bedah siasat belum dapat ditetapkan lagi oleh pihak hospital dan punca kematian masih dalam siasatan.

“Pihak polis menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sehingga pihak polis menemui maklumat terbaru mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh pihak polis jam 10.19 malam.

“Sebaik tiba di tempat kejadian pasukan bomba melakukan operasi pemindahan mayat ke jeti membabitkan seramai 11 anggota.

“Turut terbabit 16 anggota polis dan enam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Maritim Labuan.

“Mayat mangsa diserahkan kepada polis dan operasi ditamatkan jam 10.30 malam,” katanya. – Info X