Search

Warisan dakwa Ketua Menteri gagal bertindak wajar terhadap data baharu kemiskinan Sabah

April 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan mendakwa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor gagal bertindak sewajarnya terhadap data sosio ekonomi dan kemiskinan yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan pada pertengahan tahun lalu.

Ketua Wanitanya, Norfaizah Chua, berkata pendedahan dibuat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berhubung lapan daerah termiskin di Sabah pada Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini tidak sepatutnya mengejutkan Hajiji.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) Warisan mengambil maklum bahawa Rafizi memetik Laporan Kaji Selidik Pendapatan Isi Rumah Sabah (HIS) dan Kaji Selidik Perbelanjaan Isi Rumah (HES) 2022 ketika Persidangan Dewan Rakyat pada 14 Mac lalu.

“Pada 16 Mac, di Tuaran, Hajiji menafikan statistik yang diberikan Rafizi dan menyatakan bahawa data yang diperolehi kerajaan negeri adalah berbeza.

“Kedua-dua Laporan HIS dan HES 2022 yang dipetik Rafizi itu sebenarnya diterbitkan Jabatan Perangkaan, Kementerian Ekonomi pada Julai 2023 bersama dengan dua penerbitan lain iaitu Kemiskinan di Malaysia 2022 dan Laporan Sosio Ekonomi Sabah 2022 (diterbitkan pada Ogos 2023).

“Sebagai Ketua Menteri, adalah penting untuk Hajiji menggunakan empat laporan ini kerana ia menyediakan gambaran keseluruhan yang terperinci keadaan sosio ekonomi negeri dan selepas itu melakukan perancangan yang betul khususnya dalam mengurangkan kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, penafian Hajiji terhadap statistik yang diberikan Rafizi menjelaskan bahawa empat laporan berkenaan tidak dibincangkan untuk pembetulan dan sepanjang lapan bulan dari Ogos 2023 hingga Mac 2024, beliau bersama Sekretariat SMJ sepatutnya ada libat urus dengan Jabatan Perangkaan mengenai data yang tepat.

Beliau juga berkata bahawa tidak sepatutnya Hajiji dan Sekretariat SMJ tidak mendapat laporan statistik itu memandangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diwakili Datuk Armizan Mohd Ali dalam Kabinet persekutuan.

“Sudah menjadi amalan kerajaan persekutuan mencetak laporan seumpama itu untuk diberikan kepada menteri persekutuan dan JPRN sangat terkejut jika Armizan tidak mendapat salinannya, lebih-lebih lagi dia adalah Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak pada masa itu,” katanya.

Katanya, jika JPRN Warisan berjaya mendapatkan semua empat salinan laporan berkenaan pada November tahun lalu, Ketua Menteri dan Sekretariat SMJ sepatutnya dapat melakukan yang lebih baik lagi. – Info X