Search

WARISAN HANYA NYATAKAN HASRAT, JIKA PBS TIDAK TERIMA KITA TIDAK BOLEH PAKSA, KATA SHAFIE

June 7, 2022

admin

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beliau menerima keputusan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menolak tawaran parti itu untuk menjalinkan kerjasama politik.

Katanya, beliau sebelum ini hanya menyatakan hasrat untuk melihat kerjasama antara Warisan dan PBS namun segala keputusan adalah terpulang kepada PBS.

“Warisan hanya menyatakan hasrat tetapi sekiranya mereka tidak menerimanya, kita tidak boleh memaksa.

“Saya menyatakan perkara itu kerana mahu bergabung dengan parti tempatan.

“Kalau kita lihat antara komponen yang kita boleh lakukan kerjasama dari dulu sepatutnya Usno dan PBS seperti apa yang berlaku dengan parti-parti di Sarawak,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Terdahulu sebelum ini, Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, parti itu menghargai tawaran yang dibuat Shafie namun mereka akan terus kekal bersama GRS.

Dalam perkembangan lain, Shafie membidas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menafikan ada menghubungi beliau bagi mendapat sokongan sebagai ahli parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.

“Kita bercakap menerusi panggilan telefon. Dia yang menyebutkan dengan saya menyatakan ada sokongan 119.

“Dia nyatakan kepada saya sudah bincang dengan ‘brother’ Anwar, sudah bincang dengan Anthony Loke untuk bentuk kerajaan.

“Kalau dia pun menafikan terserahlah…kita serahkan kepada Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan bertemu beberapa pemimpin parti politik selain Barisan Nasional (BN), tetapi menjelaskan perkara yang dibincangkan adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). – Info X