KOTA KINABALU: Hubungan antara Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) terus diperkukuhkan di peringkat bahagian, khususnya dalam membawa isu serta kepentingan rakyat Sabah.
Perkembangan itu dapat dilihat menerusi kehadiran pimpinan KDM dan STAR pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan Sepanggar, baru-baru ini.
Naib Presiden KDM merangkap Ketua Bahagian P171 KDM Sepanggar, Jumardie Lukman, hadir bersama barisan kepimpinan bahagiannya pada majlis berkenaan.
Turut hadir pimpinan STAR Karambunai yang diketuai Datuk Stephen Teo bersama rombongan.
Jumardie berkata, kebersamaan antara parti-parti tempatan perlu terus diperkukuhkan di peringkat akar umbi bagi memastikan isu dan kepentingan Sabah dapat diperjuangkan secara bersama.
Katanya, hubungan baik antara pimpinan parti di peringkat bahagian juga penting bagi memastikan kerjasama yang dibina dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan program serta gerak kerja bersama.
“Kerjasama di peringkat bahagian penting kerana di sinilah kita dapat membina hubungan lebih erat dan memahami isu yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing.
“Yang penting, kita terus meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran pimpinan KDM dan STAR pada AGM Warisan Sepanggar turut mencerminkan kesinambungan hubungan serta komunikasi antara parti-parti tempatan di peringkat bahagian.
Pada penghujung majlis, Jumardie turut mengajak seluruh hadirin melaungkan seruan bersama sebagai simbol kesatuan dan semangat kebersamaan.
“Ayuh Sabahan! Kita bangun bersama, bersatu berpadu. Kita jaga Sabah!” katanya.
Jumardie berkata, laungan berkenaan membawa mesej kesatuan dan semangat kerjasama dalam kalangan parti tempatan Sabah, terutama dalam usaha memperkukuhkan hubungan di peringkat akar umbi.-Info X