Search

Warisan nafi ahli keluar parti, dakwaan 200 sertai GRS cerita lama

October 20, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Parti Warisan Bahagian Kudat menafikan dakwaan 200 ahlinya meninggalkan parti untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Ahad lalu.

Ketuanya, Datuk Harun Ismail menjelaskan, individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu sudah keluar parti lebih awal, iaitu pada Jun 2026.

Sehubungan itu, katanya tindakan menggambarkan perkara itu sebagai pengunduran baharu adalah mengelirukan.

“Ketika mereka keluar, struktur Warisan Bahagian Kudat masih berstatus penaja. Maka, tindakan mereka meninggalkan Warisan tidak memberi kesan kepada Warisan Bahagian Kudat.

“Menurut Page Media GRS, penyertaan mereka pada kali ini hanya dianggap sebagai ‘mewarnai Konvensyen GRS di Kudat’,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Warisan Bahagian Kudat terus berjalan seperti biasa sebagai bahagian yang sah dengan urusan organisasi, gerak kerja kepimpinan dan usaha mendekati rakyat tetap diteruskan.

Jelasnya, perkara itu tidak menjejaskan perjalanan mahupun komitmen bahagian parti itu untuk memperkukuh parti serta membela kepentingan rakyat.

“Kami menghormati hak setiap individu untuk menentukan pilihan politik masing-masing. Namun, masyarakat berhak mendapat gambaran yang tepat mengenai masa dan keadaan sebenar sesuatu peristiwa.

“Keluar masuk parti adalah perkara biasa dalam politik. Pemimpin datang dan pergi, tetapi kepimpinan sebenar diukur melalui kesetiaan, keteguhan prinsip dan kesediaan untuk berdiri bersama parti ketika parti memerlukan mereka,” katanya.

Beliau berkata, Warisan Kudat akan terus bergerak ke hadapan dengan barisan yang ada, memperkukuh perpaduan dan melaksanakan amanah perjuangan bersama rakyat.-Info X