KOTA KINABALU: Parti Warisan meramalkan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan diadakan sebelum akhir tahun ini berbanding tempoh tamat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang yang dijadual pada Oktober tahun depan.
Ketua Wanitanya, Norfaizah Chua, berkata walaupun Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan PRN17 diadakan tahun depan, beliau kini berdepan tekanan politik dari dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sendiri, selain kekecewaan rakyat terhadap kegagalan kerajaan pimpinannya.
Katanya, kenyataan Hajiji bahawa tempoh yang ada ketika ini digunakan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada isu rakyat hanya alasan lapuk dan kebudak-budakan yang tidak lagi boleh digunakan dalam politik Sabah hari ini.
“Beliau sepatutnya menggariskan sejurus selepas pengumumannya itu, mengenai sasaran atau indeks pencapaian utama (KPI) yang dia mahu capai dalam masa 12 bulan akan datang tetapi tiada apa-apa yang dijelaskan selepas beberapa hari berlalu.
“Mungkin menyedari bahawa GRS tidak lagi berkuasa selepas PRN17, alasannya lebih menyamai mereka yang ‘tidak lama lagi akan bersara’ menjadikannya tidak lagi bersemangat mengejar sasaran baharu.
“Oleh itu, sama ada pilihan raya diadakan pada tahun ini atau tidak, ia tidak akan mengubah pemikiran rakyat Sabah mengenai pencapaian beliau (Hajiji) atau menjejaskan persiapan kita (Warisan),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Hajiji pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Tuaran minggu lalu yang menyebut tumpuan kerajaan ketika ini adalah untuk menyelesaikan isu dihadapi rakyat sebelum memikirkan tarikh PRN17 berikutan tempoh DUN sekarang masih panjang.
Norfaizah percaya bahawa kekecewaan rakyat Sabah terhadap GRS terbukti berdasarkan paparan di media sosial yang dibanjiri kritikan terhadap parti yang memerintah negeri ketika ini.
“Kita mendapati sejak dua tahun yang lalu kebanyakan rakyat Sabah tidak berpuas hati terhadap kelemahan kepemimpinan ditunjukkan Hajiji melalui jutaan isu rakyat.
“Saya tidak fikir kritikan itu disebabkan politik tetapi kerana kegagalan keutamaan oleh GRS sendiri seperti cadangan memindahkan KKIA ke Kimanis dan ketidakupayaan mereka untuk mengatasi banyak isu menjejaskan rakyat Sabah seperti kenaikan kos barang keperluan dan makanan di negeri ini,” katanya.
Beliau juga percaya kombinasi pemimpin senior dan muda Warisan di bawah kepemimpinan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan timbalannya, Datuk Darell Leiking dapat menyediakan penyelesaian segera terhadap isu yang dihadapi rakyat negeri ini.
Jelasnya, jika dalam tempoh kira-kira 17 bulan ketika memerintah negeri sebelum ini, Warisan dapat mengetengahkan 21 isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia juga pasti dapat memberi tumpuan dan tenaga terhadap isu lain.
Katanya, Warisan sudah mengenal pasti beberapa sasaran untuk dicapai sejurus ia membentuk kerajaan negeri seperti menyelesaikan kemiskinan tegar, mewujudkan pelbagai industri bernilai tinggi dan sederhana serta mengukuhkan tadbir urus kerajaan.
“Warisan jauh lebih berpengalaman dan bercita-cita tinggi pada hari ini berbanding pada 2017 dan tindakan beberapa bekas wakil rakyat serta pemimpin bahagian menyertai GRS sebenarnya adalah satu rahmat kepada parti.
“Pemergian mereka membolehkan pemimpin muda yang berbakat naik dan sejurus Warisan membentuk kerajaan negeri yang baharu nanti, mereka ada peluang untuk memainkan peranan penting sebagai penggerak utama bagi membolehkan parti mencapai sasaran barunya,” katanya. – Info X