KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, parti itu terbuka untuk membentuk gabungan rasmi bersama Barisan Nasional (BN) dan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, perkara itu telah dibincangkan secara tidak rasmi antara beliau, Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony.
“Kita sedang melihat perkara ini, kita telah berjumpa dengan kawan kami Bung dan Peter.

“Kita terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa pun, supaya kita boleh bersama-sama menuntut hak-hak dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.
“Apa yang penting ketika ini ialah bagaimana kita terjemahkan (membentuk gabungan) untuk hak rakyat Sabah, itu yang menjadi keutamaan Warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pemuda Warisan, di pejabat parti itu, di Kolombong, dekat sini, hari ini.
Shafie, bagaimanapun berkata, beliau telah memberitahu ahli-ahli Warisan supaya memperkukuhkan parti sendiri terlebih dahulu, sebelum memikirkan untuk bergabung dengan mana-mana parti lain.
Bekas ketua menteri itu berkata, Warisan perlu mengambil iktibar terhadap apa yang pernah berlaku sebelum ini, termasuklah ‘rakan’ yang boleh meninggalkan mereka pada masa akan datang.
“Saya beritahu ahli-ahli parti supaya ‘perkuatkan rumah’ dulu sebelum memikirkan ‘rumah lain’ “Ini yang kita perlu lakukan dulu, kita telah ada pengalaman ketika menolong parti lain, malah membenarkan mereka guna logo kita, tapi lepas itu mereka tinggalkan kita, itu sesuatu yang kita perlu pelajari,” katanya.
Warisan, BN dan KDM sebelum ini pernah sama-sama cuba menggulingkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Januari lalu namun usaha mereka gagal apabila beberapa wakil rakyat daripada BN kekal untuk tidak meninggalkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Bagaimanapun, GRS yang mempunyai komponen tujuh parti tempatan lain merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan bersama-sama dengan Warisan, BN dan KDM. – INFO X