Search

Wetrom sah tanding di kampung halamannya di Matunggong

October 4, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Katanya, beliau ‘berhijrah’ daripada DUN Bandau untuk bertanding di kampung halamannya adalah kerana permintaan akar umbi di Matunggong.

Beliau berkata, selain terus memberikan perkhidmatan sebagai wakil rakyat di Bandau sebelum ini, beliau juga kerap ke Matunggong atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen (MP) Kota Marudu.

“Bukan tugas mudah tapi saya yakin rakyat di Matunggong mahukan perubahan seperti mana ditunjukkan rakyat Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran jentera PRN17 bagi kawasan DUN Matunggong, DUN Bandau dan DUN Tandek, di sini, hari ini.

Wetrom sebelum ini memenangi kerusi DUN Bandau pada PRN16 dan dia juga mencipta kejutan apabila menumbangkan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu, Datuk Dr Maximus Ongkili di kerusi Parlimen Kota Marudu, pada PRU15.

Sementara itu, Wetrom berkata parti itu mengesahkan 36 kerusi yang akan ditandingi dengan beberapa lagi masih dalam pemerhatian.

“Setakat ini yang sah kita akan tanding 36 (kerusi DUN), ada beberapa lagi ‘KIV’ (dalam pemerhatian).

“Memang sebelum ini saya pernah katakan kira-kira 20 kerusi, tapi kita mendapat banyak permintaan di kawasan-kawasan lain, apa yang pasti kita akan bergerak solo,” katanya. – Info X