Search

Wira Warisan sokong Perhimpunan #KamiMahuAir

June 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pergerakan Wira Warisan menyokong perhimpunan aman #KamiMahuAir yang dianjurkan kumpulan mahasiswa di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) atau Menara Kinabalu, di sini, pada 14 Jun ini.

Ketua Penerangan Wira Parti Warisan, Mohd Norizhuan Awang, berkata pihaknya mengikuti rapat perkembangan itu dan menyifatkan ia sebagai satu manifestasi keprihatinan mahasiswa serta kekecewaan terhadap masalah air yang sudah lama dihadapi rakyat Sabah.

“Wira Warisan sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Sabah yang tertindas, dalam masa sama akan terus menjunjung undang-undang yang berkaitan. Atas sebab itu kami berpendapat bahawa tiada sebab untuk menghalang gerakan yang dianjurkan oleh mahasiswa berkenaan.

“Biarpun ianya dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa dan langsung tidak berunsurkan serta melibatkan parti politik, namun atas kapasiti sebagai rakyat Sabah yang tertindas, maka seharusnya kita memberi sokongan penuh kepada kumpulan anak muda ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga mengingatkan bahawa berhimpun dan bersuara adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Malah, katanya mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 (Pindaan 2019) penganjur mana-mana perhimpunan hanya perlu memberikan notis pemakluman kepada pihak berkuasa.

“Saya rasa adik-adik mahasiswa ini sudah maklum tentang perkara ini dan difahamkan mereka telahpun menghantar notis makluman berkenaan.

“Kerajaan seharusnya meraikan demokrasi, bukannya menghalang kerana saya yakin kerajaan MADANI yang ada sekarang sangat dekat dengan ‘perhimpunan aman’. Oleh itu tidak menjadi masalah untuk mereka membiarkan demokrasi terus subur di bumi ini,” katanya.

Beliau berkata, isu penyakit tiga serangkai iaitu air, elektrik dan jalan raya semakin memburuk serta menghimpit hingga mengakibatkan rakyat semakin muak dan bosan dengan janji-janji kerajaan yang kononnya ingin menyelesaikan masalah itu.

Disebabkan itu, katanya maka kebangkitan rakyat dalam menyuarakan kemarahan sudah tidak dapat dibendung lagi.

“Namun, kita menasihatkan agar penganjur dan peserta perhimpunan agar sentiasa mematuhi undang-undang ketika berhimpun, elakkan daripada membuat provokasi melampau dan sebarang tindakan kekerasan.

“Demokrasi itu harus ditegakkan dengan hati nurani, maka jangan cemarkannya dengan sebarang kekerasan,” katanya. – Info X