KOTA KINABALU: Bekas pemain negeri, Henry Saimpon mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) supaya mewujudkan Liga Bola Sepak Sabah atau menghidupkan kembali Piala Borneo.
Beliau berkata, langkah itu bukan saja dapat memeriahkan lagi arena bola sepak di Sabah malah mampu mencungkil lebih ramai bakat-bakat tempatan.
Selain itu, katanya, ia memberi ‘peluang kedua’ kepada pemain-pemain Sabah FC yang disisihkan bagi meneruskan karier mereka dalam bola sepak.
“Seperti berlaku sebelum ini, ramai pemain kita termasuk yang telah mengharumkan nama Sabah apabila menjuarai Liga Perdana pada 2019 ‘terkapai-kapai’ kerana disisihkan selepas pasukan menjalani rombakan besar-besaran.
“Mereka terpaksa mengintai beraksi dengan pasukan lain tapi apa yang menyedihkan ada di kalangan pemain terhenti langkah mereka dalam saingan Liga Malaysia,” katanya.
Henry yang juga Naib Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) berkata demikian selepas menyempurnakan acara perasmian karnival bolasepak 11 sebelah kategori veteran itu di Padang Pekan Tamparuli pada Ahad.
Turut hadir Ketua Penyelaras KDM Pantai Dalit Gundohing Jaesman Gipin, Naib Ketua KDM Kiulu Gundohing Joluin Jairuh, Jasini Yukin dan Ketua PDM Pukak John Vest.
Henry berkata, sekiranya Piala Borneo pula dihidupkan semula, ia membabitkan penyertaan pasukan-pasukan bukan saja dari Sabah tetapi juga dari Sarawak dan negara luar yang ada di Borneo termasuk Brunei serta pasukan dari Kalimantan, di Indonesia.
“Ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan Liga Malaysia yang ada sekarang, tetapi untuk memeriahkan lagi bola sepak di kepulauan Borneo khususnya di Sabah.
“Cadangan ini mungkin sesuatu yang besar tetapi tidak mustahil diadakan, jika ada perancangan yang teliti, ianya dapat menghidupkan arena bola sepak kita dan yang paling pasti, ia akan mencungkil lebih ramai bakat-bakat baharu,” katanya.
Piala Borneo sebelum ini diwujudkan selepas perang dunia kedua namun ia hanya secara rasmi dipertandingkan pada 1962 membabitkan tiga pasukan iaitu North Borneo, Sarawak dan Brunei.
Henry yang juga antara individu bertanggungjawab sebagai pengurus pasukan yang telah membawa pasukan Sabah menjuarai Liga Perdana 2019 juga menyatakan kesediaan beliau menyediakan kertas kerja untuk mewujudkan Liga Sabah atau menghidupkan kembali Piala Borneo.
Beliau turut berharap jika kejohanan itu menjadi kenyataan, ia akan dikekalkan sebagai satu kejohanan tradisi yang dianjurkan SAFA pada setiap tahun.
“Sebagai seorang bekas pemain yang pernah menyarung jersi skuad negeri, sudah pastinya saya ingin melihat lebih ramai bakat-bakat tempatan dapat diketengahkan, sayang sekali bagi pemain yang tidak mendapat tempat dalam skuad utama Sabah FC, mereka mungkin boleh menyinar dalam kejohanan besar yang lain termasuklah jika Liga Sabag diperkenalkan atau Piala Borneo dihidupkan kembali.
“Selain mengetengahkan pemain kita, ia juga memberi peluang kepada jurulatih-jurulatih tempatan kita untuk menguji kemampuan masing-masing, Sabah mempunyai ramai jurulatih bertauliah tetapi tidak mempunyai pasukan untuk dikendalikan.
“Jika ianya menjadi kenyataan, ia perlu dijadikan sebagai kejohanan tradisi yang dianjurkan setiap tahun oleh SAFA, tanpa mengira siapapun yang mengambil alih persatuan induk bola sepak negeri itu … kita perlu lebih banyak liga atau kejohanan bola sepak di Sabah, kalau kita lihat di Semenanjung, ada banyak liga dan kejohanan, kenapa tidak di Sabah?,” katanya lagi. – Info X