KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan kementeriannya bakal membangunkan semula sistem data raya bahan makanan berasaskan pertanian sebagai rujukan dalam menangani isu bahan makanan di negara ini.
Beliau berkata, sistem berkenaan pernah dilaksanakan sebelum ini dan dilihat perlu diwujudkan semula berdasarkan keperluan semasa dalam industri pengeluaran bahan makanan.
“Mengenai ‘database’ ini, kita akan memanggil orang yang terbabit untuk mendapatkan yang terbaik dan termurah untuk kita laksanakan semula. Sistem ini dahulu sudah ada cuma ianya tidak bergerak.
“Sekarang kita lihat ia amat perlu. Kadang-kadang kita lihat sayur di tempat ini mahal tapi tempat lain murah, jadi kalau ada ‘database’ kita akan dapat maklumkan petani dan ianya akan dapat ditangani dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Bank Bergerak Agrobank, di sini, semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin.
Bank Bergerak Agrobank adalah program bantuan yang disediakan kerajaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) dengan peruntukan sebanyak RM18 juta untuk membantu segmen yang kurang mendapat liputan ke arah pengukuhan ekonomi yang lebih baik.
Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan sistem data raya itu akan dilaksanakan secepat mungkin untuk memastikan keterjaminan makanan dalam negara berada pada tahap yang memuaskan.
“Menerusi sistem ini, kementerian akan dapat membuat unjuran dan langkah awal bagi mengelak berlaku sebarang kemungkinan kekurangan bahan makanan.
“Sistem data raya juga membolehkan maklumat bahan makanan diperolehi secara ‘real time’ termasuk berkaitan jenis sayuran yang sedang ditanam, jumlah pengeluaran, lokasi pengeluaran, jumlah import dan eksport, jumlah permintaan serta kos pengeluaran,” katanya.
Sementara itu, Mohamad menyifatkan pelancaran perkhidmatan bank bergerak Agrobank di Sabah, khususnya di daerah Lahad Datu, Tawau dan Beaufort sejajar dengan usaha kerajaan memastikan kestabilan sekuriti makanan dan pembangunan sosio ekonomi komuniti yang kurang mendapat perhatian.
“Usaha Agrobank ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan rangkuman kewangan dan pada masa yang sama membantu membangunkan sektor pertanian negara,” katanya. – Info X