Search
Search
Close this search box.

Yayasan Bank Rakyat agih bantuan kepada 61 pelajar di Tongod

November 25, 2023

Info X Reporters

TONGOD: Yayasan Bank Rakyat meneruskan inisiatif berasaskan pendidikan menerusi pengagihan Bantuan Awal Pengajian kepada seramai 61 pelajar dari daerah ini yang melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Penyerahan bantuan dengan kerjasama Persatuan Peniaga Wanita Sabah (SWEA) itu disempurnakan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Philip Benedict Lasimbang pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat di Kampung Entilibon, dekat sini, semalam.

Dalam ucapannya, Philip berkata, selain Bantuan Awal Pengajian, ada beberapa lagi inisiatif berteraskan pendidikan yang dilaksanakan yayasan itu menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) termasuk Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU), Bantuan Persekolahan, Seminar Didik Rakyat dan Tuisyen Rakyat.

Katanya, setiap inisiatif itu bertujuan meningkatkan taraf kehidupan rakyat terutama yang kurang berkemampuan melalui ilmu dan pengetahuan.

“Sepanjang penubuhan Yayasan Bank Rakyat juga, pelbagai anugerah dan pencapaian berjaya diraih yang membuktikan komitmen dan semangat tinggi warga yayasan memperjuangkan taraf peningkatan pendidikan negara.

“Ini seterusnya melahirkan masyarakat yang bijak, kreatif dan profesional dalam apa juga yang dilaksanakan,” katanya.

Yang turut hadir ialah Pengerusi SWEA, Mohina Sidom.

Antara pelajar yang menerima Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat di Tongod.

Philip berkata, menerusi inisiatif yang dilaksanakan Yayasan Bank Rakyat itu, pihaknya menerima beberapa anugerah termasuk Yayasan Terbaik 2023 bagi kategori perbankan oleh CSR Award Malaysia.

Beliau berharap bantuan insentif kewangan bukan saja membantu pelajar meneruskan sesi pengajian, malah menyemarakkan semangat dan motivasi mereka untuk mencapai keputusan yang lebih cemerlang.

Philip Lasimbang (dua kiri) menyerahkan Bantuan Awal Pengajian kepada pelajar sambil disaksikan Mohina (kanan) pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat di Kampung Entilibon, Tongod.

Sementara itu, Mohina berkata, sebagai persatuan yang turut menumpukan kerja kebajikan selain keusahawanan, SWEA komited untuk membantu lebih ramai pelajar daripada daerah itu untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Kita sedar Tongod adalah daerah termiskin di negara ini dan cara paling berkesan untuk mengurangkan kadar kemiskinan adalah menerusi pendidikan,” katanya.

Mohina berkata, pihaknya akan terus membantu rakyat di daerah itu terutama daripada segi keperluan pelajar kategori B40.

Katanya, Yayasan Bank Rakyat juga sudah membantu menyediakan peralatan perabot untuk kegunaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penangah, di sini, selain membantu menaja program lawatan murid daripada Tabika Kemas Kampung Linayukan ke Kota Kinabalu.

Tongod yang terletak di tengah Sabah adalah antara daerah yang disenaraikan sebagai daerah termiskin di negara ini, selain Kota Marudu dan Pitas di utara Sabah. – Info X