PAPAR: Seorang wanita maut dan empat cedera ringan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V dinaiki mereka dipercayai terbabas sendiri di tepi jalan di Jalan Gana Kawang, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa Tracy Wong, 35, disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.
Manakala seorang wanita warga emas, lelaki berusia 37 tahun dan dua kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 6 dan 8 tahun cedera ringan dihantar ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.
Semua mangsa dihantar menggunakan ambulans dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.47 petang.
Katanya, Seramai 12 anggota dan pegawai bersama jentera dan EMRS dari BBP Papar digerakkan ke tempat kejadian.
“Menurut laporan, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan SUV Honda HR-V dipercayai terbabas sendiri.
“Lima mangsa terbabit dan semua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, seorang mangsa wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat mangsa hanya cedera ringan.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba kemudian membersihkan sisa-sisa kemalangan di atas jalan raya sebelum operasi ditamatkan pada 7.19 malam tadi,” katanya. – Info X