Search

Orang awam bantu padam kebakaran kereta terbabas

March 25, 2023

admin

KUNAK: Tindakan pantas orang awam berjaya menyelamatkan dua individu daripada rentung selepas kereta dinaikinya terbalik dan terbakar di Jalan Kampung Sungai Atas dekat SK Kampung Selamat, di sini, hari ini.

Kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua individu terbabit berjaya dipadam oleh orang awam menggunakan alat pemadam api.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima maklumat jam 2.07 petang, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak digerakkan ke tempat kejadian.

Katanya, menurut laporan kemalangan membabitkan Perodua Myvi terbabas sendiri di tepi jalan dan terbalik.

“Kemalangan mengakibatkan kebakaran di bahagian bateri kereta dan berjaya dipadamkan oleh orang awam dengan menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Terdapat dua mangsa terbabit dalam kemalangan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di kawasan kemalangan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kemalangan.

“Operasi ditamatkan pada 2.18 petang,” katanya. – Info X