Search

Seludup PATI di Sabah, imigresen sahkan 5 pegawainya ditahan

March 25, 2023

admin

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan penahanan lima pegawainya di Sabah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terbabit kegiatan sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, lima pegawai terbabit ditahan pada 23 Mac lalu dan menegaskan pihaknya sedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan mereka.

“Jabatan ini menyerahkan kepada SPRM untuk melakukan siasatan dan pihak kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan serta tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam aktiviti tidak berintegriti.

“Tindakan dan hukuman yang serius akan diambil termasuk buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, JIM serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai Jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum.

Katanya, pelbagai program telah dilaksanakan bagi menerapkan nilai integriti yang tinggi dalam diri setiap pegawai imigresen.

“Selain daripada itu, Jabatan ini sentiasa bekerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM dalam usaha memerangi penyeludupan migran,” katanya.

Terdahulu, SPRM menahan reman sembilan individu termasuk lima pegawai penguat kuasa dalam satu operasi Ops Lancar kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan PATI di negeri ini.

Perintah reman selama enam hari bermula semalam sehingga 29 Mac 2023 dikeluarkan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu di Mahkamah Majistret Tawau, selepas pihak SPRM membuat permohonan berkenaan, pagi semalam.

Menurut sumber, lima suspek termasuk dua pegawai wanita yang berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang hingga 8.40 malam pada Khamis di pejabat masing-masing dan ketika hadir memberikan keterangan.

Sumber berkata, empat suspek dipercayai bertindak sebagai ejen PATI dari negara jiran yang melibatkan tiga wanita tempatan berusia antara 37 hingga 48 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 73 tahun ditahan antara jam 3.30 petang hingga 6 petang pada Khamis.

Modus operandi sindiket terbabit ialah setiap PATI atau Pemastautin Sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar sekitar RM2,500 kepada ejen PATI berkenaan jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

Menurut sumber, sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad kepada kumpulan PATI yang menggunakan khidmat mereka.

PATI dari negara jiran terbabit kemudian akan melepasi pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas bayaran rasuah dibuat kepada pegawai penguat kuasa berkenaan. – Info X