Search

10 individu ditahan, rampasan lebih RM508,000 di Sandakan

October 15, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seramai 10 individu ditahan dalam empat operasi penguatkuasaan berasingan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam, dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM508,000.

Operasi berkenaan turut menyaksikan tiga bot nelayan tempatan, sebuah bot pancung, enjin sangkut berkuasa 250 kuasa kuda, kira-kira dua tan hasil laut serta 750 liter minyak diesel dirampas.

Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, tiga bot nelayan tempatan ditahan dalam operasi berasingan antara jam 2.50 hingga 3.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan bot pertama mendapati ia dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama dua awak-awak warga asing, selain membawa kira-kira 50 kilogram hasil laut.

“Bot kedua pula dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama seorang awak-awak warga asing dengan muatan kira-kira satu tan hasil laut serta lima tong gas petroleum cecair (LPG) berkapasiti 14 kilogram setiap satu.

“Pemeriksaan bot ketiga turut menemukan kira-kira satu tan hasil laut bersama lima tong gas LPG berkapasiti sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Suhairy berkata, dalam operasi berasingan, pihaknya turut memeriksa sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dan sebuah premis di Kampung Seng Kee, di sini.

Menurutnya, pemeriksaan menemukan 25 tong jeriken berkapasiti 30 liter setiap satu yang mengandungi keseluruhan 750 liter minyak diesel.

“Bot pancung bersama enjin sangkut Yamaha berkuasa 250 kuasa kuda turut dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM51,952.50,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan membabitkan tiga bot nelayan tempatan pula dianggarkan RM456,400, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bagi empat kes berkenaan RM508,352.50.

Katanya, semua individu yang ditahan dibawa untuk membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 2002, tertakluk kepada kesalahan yang dikenal pasti.

“Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang di perairan negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999,” katanya. – Info X