PENAMPANG: Tiga kereta musnah dalam kebakaran di luar sebuah kedai aksesori kereta di Bundusan Square, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, kebakaran itu turut menjejaskan sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda yang mengalami kerosakan akibat bahangan.
“Kenderaan yang musnah ialah Toyota Land Cruiser, Perodua Kenari dan Hyundai Atos, manakala kenderaan jenis GWM Wingle 5 mengalami kesan bahangan dianggarkan tiga peratus pada bahagian fender belakang.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.55 tengah hari sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Seramai 12 anggota dari BBP Penampang bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.08 tengah hari menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan serta satu aliran salur bantu mula,” katanya.
Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.37 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.
“Punca kejadian dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-Info X