KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putrajaya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama perniagaan, termasuk meneroka peluang memasarkan produk PPK Putrajaya yang bersesuaian dengan pasaran di Sabah.
Kerjasama itu bertujuan membina jaringan perniagaan yang mampu membuka peluang baharu serta memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
MoU itu ditandatangani Timbalan Pengerusi PPNS, Datuk Ng Loi Tect, Mohammad Utung Wakil Pengarah LPP Sabah dan Pengerusi PPK Putrajaya, Datuk Ghazali Hassan dan Pengarah LPP Wilayah Persekutuan Labuan, Jafrin Kaingud sempena Majlis Lembaian Kasih Datuk Mohd Razali Wahab, Setiausaha Persekutuan Sabah anjuran PPNS, di Promenade Hotel, di sini, pada Rabu.
Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan oleh Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Mohd Razali.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Mohd Nazri merakamkan penghargaan kepada Mohd Razali atas segala jasa dan khidmat bakti sepanjang berkhidmat di Sabah, selain menyifatkan beliau sebagai sahabat karib.
Beliau berkata, sumbangan Mohd Razali sepanjang menjalankan tugas di negeri ini amat dihargai dan berharap hubungan persahabatan yang terjalin terus berkekalan selepas beliau kembali ke Kuala Lumpur.
Mohd Nazri turut berharap Mohd Razali tidak melupakan Sabah dan terus berkunjung ke negeri ini, sambil menegaskan pihaknya amat menghargai segala jasa bakti beliau kepada Sabah.
Sementara itu, Mohd Razali dalam ucapannya berkata, majlis berkenaan menjadi kenangan bermakna sempena persaraannya selepas lebih 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Beliau berkata, Sabah sentiasa dekat di hatinya sejak kunjungan pertama dan menyifatkan negeri ini sebagai tempat yang indah, luas serta kaya dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kerjasama erat yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya, yang banyak membantu memudahkan urusan dan pelaksanaan tanggungjawab beliau di Sabah.
Mohd Razali, yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berkata tugasan terakhirnya ialah menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-150 sempena Mesyuarat Raja-Raja di Kuala Lumpur, pada Selasa lalu.
Beliau menyifatkan peluang mengakhiri perkhidmatan di Sabah dengan pengalaman dan kenangan bermakna sebagai penutup indah kepada perjalanan lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam.-Info X