Search

10 pasukan meriahkan Karnival Bola Sepak United Malaysia 2024

December 2, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Sebanyak 10 pasukan dari seluruh negara memeriahkan Karnival Bola Sepak United Malaysia 2024 yang berlangsung di Stadium Penampang, di sini, pada hujung minggu lalu.

Karnival yang bermula pada Sabtu itu menyaksikan Old Trafford KL muncul sebagai juara selepas dengan mudah menewaskan Akuma FT 5-0 di perlawanan akhir.

Dianjurkan United Malaysia, iaitu kelab penyokong rasmi Manchester United di negara ini, acara itu menghimpunkan peminat dari Sabah, Sarawak, serta Kuala Lumpur.

Karnival itu mendapat penyertaan enam pasukan dari Sabah iaitu SRD Mancunian, SRD Newton Heath, Akuma FT, Lembaga Pelancongan Sabah, BMU FC dan Kapazan Red Devils; dua dari Sarawak (BDR FC dan Saif FC); dan dua dari Kuala Lumpur (Old Trafford KL dan KLMRD).

Pengerusi penganjur Daniel Roman berkata, dia bangga dan berpuas hati dengan penganjuran kali ini di mana negeri ini dipilih sebagai tuan rumah

“Kami berbesar hati untuk menganjurkan pertandingan ini di Sabah, membawa semua rakan kami dari Sarawak dan Kuala Lumpur selain negeri Sabah untuk bertanding dalam kejohanan ini.

“Ia merupakan satu pengalaman yang hebat, dan kami berterima kasih kepada semua yang hadir bersama-sama untuk menjayakan acara ini,” katanya.

Sebelum ini, dua kejohanan yang sama telah berlangsung di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Presiden United Malaysia Batholomew Jingulam berkata, objektif karnival kejohanan itu ialah bukan saja untuk meraikan kejayaan Manchester United tetapi juga mengekalkan persahabatan di kalangan peminat kelab berkenaan.

“Di United Malaysia, kami percaya untuk menyatukan peminat bukan sahaja untuk meraikan kejayaan Manchester United, tetapi untuk membina persahabatan yang berkekalan.

“Kejohanan ini adalah mengenai memupuk komuniti, mewujudkan hubungan baharu dan mengukuhkan ikatan yang kami kongsi sebagai penyokong.

“Kami berharap acara seperti ini memberi inspirasi kepada peminat untuk terus bermain permainan yang mereka suka, dan sentiasa ingat bahawa bola sepak menyatukan kita semua, tidak kira dari mana kita berasal,” katanya. – Info X