KOTA KINABALU: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) menggesa Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan pemegang sahamnya, yang turut termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) serta 11 bank, supaya memansuhkan pengenalan semula fi pengeluaran tunai RM1 di mesin ATM.
Menerusi satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon, berkata fi itu dikenakan kepada pelanggan yang mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang tidak bergabung dengan bank masing-masing.
Katanya, amalan itu agak membebankan bagi keluarga berpendapatan rendah yang masih dalam proses pemulihan daripada kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Beliau berkata, ketika pandemik, PayNet mengecualikan fi RM1 bermula pada 3 April 2020 kerana mengiktiraf beban kewangan yang dihadapi ramai rakyat Malaysia pada masa itu.
“Bagaimanapun, pada Februari 2022, fi ini dikenakan semula, seterusnya meletakkan bebanan kewangan tambahan kepada mereka yang bergantung kepada mesin ATM untuk mengeluarkan wang.
“NUBE percaya majoriti pelanggan yang terkesan dengan fi ini adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah, termasuk sejumlah besar ahli NUBE yang sedang bergelut memenuhi keperluan kekeluarga.
“Mengenakan fi ini terhadap individu yang kerap menggunakan ATM di luar rangkaian perbankan mereka, bukan saja tidak adil malah juga menyukarkan lagi cabaran kewangan dihadapi mereka.
“Ramai pelanggan ini perlu membuat pengeluaran dalam kesibukan menyelesaikan tugas lain dan kos tambahan sebanyak RM1 bagi setiap transaksi tanpa disedari akan semakin bertambah dengan pantas. Ini mampu terus menjejaskan sumber mereka yang sudah sedia terhad,” katanya.
Pada awal Oktober lalu, katanya NUBE menulis kepada pemegang saham PayNet, khususnya BNM dan bank-bank komersial, meminta mereka menasihatkan PayNet supaya menghapuskan atau mengecualikan bayaran itu
Jelasnya, NUBE berpendirian ia adalah tanggungjawab moral PayNet dan pemegang sahamnya, selain tanggungjawab sosial korporat dan ESG lestari demi kepentingan rakyat dan negara, untuk mengetepikan fi RM1 bagi semua pelanggan dalam kumpulan pendapatan lebih rendah.
“Walaupun ada yang membalas surat ini daripada BNM dan sesetengah bank, tiada satu pun memberikan komitmen tegas bahawa fi RM1 itu akan diketepikan.
“Kami menggesa PayNet dan bank-bank supaya mementingkan empati dan tanggungjawab sosial dalam operasi mereka.
“Fi pengeluaran sebanyak RM1 itu secara tidak adil menjejaskan mereka yang paling tidak mampu. Semakin kita bergerak ke arah pemulihan ekonomi, kita tidak patut mengenakan beban tambahan terhadap anggota masyarakat kita yang paling lemah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya NUBE menggesa PayNet dan bank-bank memansuhkan fi RM1 bagi pengeluaran tunai ATM, atau melihat kepada penyelesaian alternatif yang dapat meredakan beban kewangan terhadap keluarga berpendapatan lebih rendah.
“Adalah penting untuk memupuk persekitaran perbankan inklusif yang menyokong semua rakyat Malaysia, khususnya mereka yang menghadapi kesukaran hidup,” katanya. – Info X