Search

10 PPS di Kota Marudu ditutup, 2,944 mangsa banjir dibenar pulang

February 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Kota Marudu ditutup mulai jam 10 pagi ini selepas situasi banjir di daerah itu dilapor pulih sepenuhnya, pagi ini.

Penutupan itu diisytiharkan Pegawai Daerah Kota Marudu selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Meirin Sugara.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata penutupan PPS di daerah itu dibuat selepas mengambil kira maklumat daripada agensi tindak balas yang membuat tinjauan di lokasi terjejas banjir.

“Dengan mengambil kira keadaan cuaca yang baik dan paras air yang telah pulih sepenuhnya, adalah diisytiharkan bahawa semua PPS ditutup. Kediaman penduduk terjejas bencana (PTB) adalah selamat untuk didiami.

“Saya mengarahkan agar Komander Operasi Bencana menyelaraskan kekuatan anggota, aset dan logistik untuk operasi penghantaran pulang PTB ke kediaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta jasa baik agensi tindak balas di lapangan untuk menilai jika ada keperluan untuk aktiviti pasca bencana bersepadu dilaksanakan.

Sehingga pagi ini, sebanyak 10 PPS dibuka di Kota Marudu berikutan banjir di 28 kampung dengan seramai 2,944 mangsa daripada 1,095 keluarga dipindahkan.

Kota Marudu merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan sejak bencana itu melanda daerah di utara dan pantai timur Sabah bermula Selasa lalu. – Info X