Search

Piala Malaysia: Tiada pilihan, Sang Badak perlu kerja keras – Alto

February 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC tidak mempunyai pilihan selain perlu bekerja keras untuk memenangi perlawanan kedua separuh akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang, malam esok.

Penolong Ketua Jurulatihnya, Alto Linus, berkata hanya itu yang perlu dilakukan skuad Sang Badak setelah terikat 1-1 pada perlawanan pertama di Stadium Likas, 18 Januari lalu.

Jelasnya, Sabah perlu memenangi perlawanan kedua itu bagi melayakkannya ke aksi final sejajar harapan pasukan dan penyokong bola sepak Sabah yang mahu melihat Sang Badak beraksi di pentas final Piala Malaysia selepas menanti selama 22 tahun.

“Inilah masa yang sangat dinanti-nantikan bagi memastikan impian seluruh rakyat Sabah untuk melihat mereka (pemain Sabah FC) beraksi di pentas final Piala Malaysia menjadi kenyataan.

“Jadi, malam esok misi utama kita sudah semestinya untuk ke final. Sabah FC sudah lama tidak ke pentas final setelah kali terakhir 22 tahun yang lalu,” katanya, di sini.

Sehubungan itu, Alto berkata pemain Sabah perlu mempamerkan persembahan menyakinkan dan melakukan yang terbaik untuk Sang Badak layak ke final Piala Malaysia musim ini.

Alto menekankan persembahan pemain Sabah kali ini perlu lebih baik berbanding aksi separuh akhir pertama mereka di Likas pada bulan lalu.

“Kita mahu siapa saja pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan ini, mereka mampu melakukan yang terbaik untuk pasukan serta memikul seluruh harapan rakyat Sabah,” katanya.

Walaupun sedar Sri Pahang juga mempunyai misi yang sama dan memiliki kelebihan bermain di tempat sendiri, Alto berkata pasukannya tetap akan memberikan tentangan sengit.

Apa yang penting katanya, pemain Sabah perlu mempunyai semangat juang yang tinggi dan fokus sepanjang perlawanan bagi mendapatkan keputusan yang positif.

“Sudah semestinya harapan kita adalah untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan ini tetapi ini bukan tugas mudah.

“Kita juga tahu pasukan Sri Pahang mempunyai matlamat sama, sudah pasti mereka juga ada rancangan tersendiri untuk perlawanan ini, lebih-lebih lagi mereka bermain di tempat sendiri,” katanya. – Info X