Search

100 pelajar baharu UCSF selesai Program Orientasi

February 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kira-kira 100 pelajar baharu University College Sabah Foundation (UCSF) ambilan Februari 2025 selesai menjalani Program Orientasi dua hari pada 10 dan 11 Februari lalu di kampusnya, di Sembulan.

Program itu antara lain bagi memberi taklimat kepada pelajar baharu mengenai tugas Jabatan Pendaftar, Pejabat Kewangan, Unit Wakaf dan Endowmen, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti Akademik.

Pemangku Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UCSF, Mazlinah Binamin, berkata program orientasi itu dikendalikan sepenuhnya oleh Student Representative Council (SRC) sesi 2024/25 yang diketuai Presidennya, Dayangku Lailatul Norsa’adah dengan dibantu fasilitator pelajar.

Katanya, pengisian lain program itu ialah Ceramah Motivasi oleh Kaunselor UCSF, Suhaifah Irna dan Ceramah Kesedaran Jenayah Seksual Dalam Kalangan Pelajar IPT oleh Inspektor D11 Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Inspektor Florence Ansikit.

“Program dua hari itu turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti permainan, sukan dan rekreasi bertujuan membantu proses transisi pelajar ke peringkat universiti serta membina hubungan baik di antara pelajar sedia ada dengan pelajar baharu.

“Program berakhir dengan bacaan ikrar pelajar baharu, penyampaian hadiah dan sesi bergambar pada majlis penutupan yang disempurnakan Naib Canselor UCSF, Datuk Dr Rafiq Idris,” katanya.

Pemangku Pendaftar UCSF, Norasyiqin Ahmad pula berkata, Pejabat Pendaftar bersedia membantu pelajar baharu dalam semua urusan akademik dan pentadbiran, bagi memastikan perjalanan akademik yang lancar dan bermakna di UCSF.

Sementara itu, Rafiq dalam ucapannya mengingatkan pelajar bahau supaya mempelajari perkara yang dikongsikan dalam kuliah dan aktiviti universiti, selain digalakkan berusaha sendiri dalam mempertajam ‘soft skills’ serta kemahiran tambahan agar lebih berdaya saing apabila memasuki pasaran kerja.

Beliau turut menekankan kelebihan penguasaan dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa sebagai tambahan kepada bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa ibunda, seperti bahasa Mandarin, Korea, Arab dan lain-lain. – Info X