BEAUFORT: Dua rumah atas air di Kampung Laut Baru, Weston, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Bagaimanapun kejadian itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan apabila semua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.39 malam.
“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal atas air terbakar 90 dan 100 peratus.
“Operasi pemadaman menggunakan empat pancutan dengan sumber air terbuka iaitu air laut dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa terbabit dan kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya pada 9.55 malam.
“Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh BBP Sipitang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity. – Info X