Search

1,000 golongan memerlukan diraikan pada rumah terbuka Aidilfitri Sabah

March 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 golongan memerlukan termasuk anak yatim dan pelajar tahfiz bakal diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah pada 28 Mac ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, majlis bertemakan Aidilfitri Wadah Perpaduan itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, majlis berkenaan dijangka menerima kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.

“Pada tahun ini, kita memperluaskan penglibatan golongan memerlukan termasuk lebih 1,000 anak tahfiz dan anak yatim untuk bersama-sama meraikan sambutan ini.

“Kita juga akan menyampaikan sumbangan kepada sembilan rumah kebajikan melibatkan anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan golongan memerlukan,” katanya ketika ditemui selepas temubual bersama SabahFM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan nilai keprihatinan selain menekankan konsep kesederhanaan namun memberi impak kepada masyarakat sasaran.

Menurutnya, sebanyak 71 gerai melibatkan usahawan tempatan serta 15 hotel akan menyediakan pelbagai juadah Aidilfitri kepada pengunjung.

“Penglibatan vendor ini secara tidak langsung membantu usahawan kecil menjana pendapatan.

“Selain itu, enam agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan kementerian turut mengambil bahagian dalam penyediaan sajian bagi memastikan kepelbagaian makanan kepada tetamu,” katanya.

Majlis itu dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kepimpinan negeri.

Orang ramai khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan. – Info X