KOTA KINABALU: Kerajaan mengumumkan penyelarasan kelayakan penggunaan subsidi bahan api di bawah inisiatif BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah berkenaan dilaksanakan sebagai pendekatan bersasar bagi memastikan subsidi terus memanfaatkan majoriti rakyat, khususnya dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu ketika ini.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kerajaan meneliti corak penggunaan semasa, yang menunjukkan sebahagian besar rakyat menggunakan bahan api pada kadar lebih rendah daripada had baharu tersebut.
“Purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter sebulan. Ini bermakna majoriti rakyat sebenarnya menggunakan kurang daripada 200 liter, dan hampir 90 peratus tidak akan terjejas dengan penyelarasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu perutusan khas hari ini yang menyentuh langkah strategik negara bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi krisis tenaga global, susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa harga subsidi BUDI95 kekal pada kadar RM1.99 seliter sebagai usaha berterusan kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Selain itu, had siling penggunaan bagi golongan e-hailing dan pekerja gig turut dikekalkan sehingga 800 liter sebulan, mengambil kira keperluan pekerjaan serta tanggungjawab harian mereka.
Kerajaan menjelaskan bahawa langkah penyelarasan ini bersifat sementara, sementara menunggu kestabilan semula pasaran minyak global dan pemulihan ekonomi dunia yang ketika ini masih belum menunjukkan tanda-tanda positif. – Info X