Search

Hajat ‘beraya sakan’ naik pikap curi tidak kesampaian

March 27, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hasrat dua lelaki untuk ‘beraya sakan’ dengan menaiki kenderaan pikap dipercayai dicuri berakhir apabila mereka dicekup selepas dikejar di Kampung Air, di sini, petang tadi.

Kenderaan itu dilaporkan hilang di Kinabatangan sebelum dikesan berada di bandar raya ini oleh ahli kelab kenderaan yang kebetulan terserempak.

Menurut sumber, kedua-dua suspek dipercayai cuba berlagak tenang memandu di tengah kesibukan kota, seolah-olah kenderaan itu milik sendiri.

Namun, gerak-geri mencurigakan mereka mengundang perhatian ahli kelab kenderaan berkenaan.

Ahli kelab itu kemudian mengekori pikap terbabit dengan bantuan motosikal serta beberapa kenderaan lain yang berada berhampiran.

“Ketika dikejar, suspek memandu laju dan berbahaya sehingga hampir merempuh kenderaan lain, mencetuskan detik cemas di jalan raya,” katanya.

Aksi itu bagaimanapun berakhir apabila kenderaan berkenaan secara tiba-tiba berhenti di kawasan Kampung Air, dipercayai kehabisan minyak.

Kesempatan itu digunakan pihak yang mengejar untuk menghampiri sebelum dua lelaki terbabit dipaksa keluar dari kenderaan berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial, memaparkan detik mendebarkan usaha orang awam membantu menjejaki kenderaan dicuri. – Info X